Saat cinta berpaling
Dan hati menjelma serpihan-serpihan kecil
Saat huru hara terjadi
Saat ujian demi ujiannya terasa terlalu besar
Untuk ditanggung sendiri
Ke manakah seorang wanita harus mencari kekuatan
Agar hati mampu terus bertasbih?
Blogku ini memuatkan sebahagian serpihan kisah resah hidupku. Ianya merakamkan perjalanan aku sebagai seorang wanita, ibu tunggal dan ummi kepada 4 orang cahaya mata. Ia turut mengandungi pengalaman, dialog hati, pertanyaan dan kekeliruan hatiku berkenaan perasaan dan sikap insan yang bernama lelaki. Rasa kecewa, marah dan sedih serta putus asa yang tergambar di benak kotak fikiranku.
Beberapa maklumat yang dititipkan di setiap coretannku, sengaja aku samarkan, namun ianya sedikitpun tidak mengurangkan inti pati kisah yang ingin aku coretkan.
1001 kisah yang ingin dikongsikan bersama. Terutamanya rasa hati apabila orang tercinta yang sentiasa berada di sisiku selama 17 tahun, tiba-tiba dijemput Allah pulang ke pangkuannya. Bersediakah aku ketika itu? Bersediakah aku? Redhakah aku? Bersediakan iman aku diuji sebegitu hebatnya?
Seawalnya aku berasa amat takut. Khuatir kekuatan iman dan keikhlasan aku menerima takdir tersebut tidak sepenuhnya. Berasa ragu ditinggalkan sendirian, kerana bertahun-tahun lamanya aku dimanjakan dan sangat bergantung sepenuhnya dalam semua hal dan urusan. Sebarang persiapan untuk aku menempuh takdir itu sesungguhnya bukan satu perkara yang mudah… Apatah lagi bersama amanah yang ditinggalkan… Harta dunia dan akhirat.
Cinta yang terkulai layu di tengah jalan? Terdampar sepi ekoran tiada restu penerimaan seorang ibu terhadap anak bujangnya… Perasaan aku benar-benar terhiris luka apabila terpaksa menempuh setiap ujian yang datangnya bertalu-talu tanpa henti. Walau apa pun ujian yang datang menimpa, aku telah berjanji pada diriku sendiri untuk tidak berputus asa. Berjanji kepada diri agar menjadikan setiap dugaan yang hadir sebagai cermin bagi dijadikan renungan. Seawalnya aku amat sukar untuk mencari dan bertemu jalan keluar. Aku buntu…
Tapi akhirnya dengan berdoa, meminta pertolongan kerap kepadaNya. Aku sedar, hari semakin hari aku semakin mengharapkan pertolongan Allah dan semakin bergantung kepadaNya. Semoga Allah memberi kekuatan bagi aku sebagai hambanya yang kerdil ini…
No comments:
Post a Comment